Sunday, December 18, 2011

REFLEKSI PENGAJARAN- Apa maksudnya??


Pemikiran dan amalan refleksi terhasil daripada cetusan idea yang dikemukakan olehDewey (1933) dalam bukunya yang berjudul ‘How We Think”. Walaupun gagasan idea ini sudah agak ketinggalan zaman namun penggunaannya dalam bidang perguruan tidak dapat dipisahkan. Hal ini dibuktikan dengan kewujudan pelbagai kajian berkenaan pemikiran dan amalan refleksi yang dilaksanakan oleh para penyelidik pendidikan diseluruh dunia dari semasa ke semasa (Van Manen, 1977; Schon, 1983; Boud et al., 1985;Pollard dan Tann, 1990; Hatton dan Smith, 1995; McAlpine et al., 1999; Corcoran dan Leahy, 2003; Nor Hasniza dan Muhammad Yusof, 2005; Nor Hasniza et al., 2006; Ooi,2006). Oleh yang demikian, wajarlah bagi seorang guru sentiasa merefleks terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan bagi memperbaiki prestasi pengajarannya.

Dari segi definisi pula Dewey (1933) menyatakan individu yang mempraktikkan pemikiran refleksi akan sentiasa aktif dalam memikirkan masalah yang dihadapi, komited untuk mencari jalan penyelesaian, sanggup mengorbankan masa bagi memastikan masalah yang dihadapi dapat di atasi dan sentiasa menerima pandangan dari luar yang berpotensi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bagi Boud et al., (1985) refleksi adalah proses meneutralkan kembali segala perasaaan negatif yang menyelubungi pengalaman yang dilalui supaya satu perspektif baru dapat dihasilkan daripada pengalaman tersebut sekali gus berjaya mengubah tingkahlaku dan tindakan seseorang. Ia juga merupakan tindakan yang bertujuan dan berhati-hati (Loughran, 1996), melakukan penilaian secara kritikal (Mezirow, 1991) dan melibatkan proses menyiasat dan mengenal pasti pengalaman yang telah mereka lalui. Keseluruhannya, pemikiran dan amalan refleksi merupakan suatu aktiviti kognitif yang memerlukan penglibatan aktif individu hasil daripada cetusan sesuatu pengalaman yang amat memberi kesan kepada dirinya dengan melibatkan pengujian tindak balas, kepercayaan dan dasar pemikiran untuk menghasilkan integrasi antara pemahaman baru dengan pengalaman yang telah dilalui. Pemikiran dan amalan refleksi merupakan suatu bentuk pemikiran yang sukar diterjemahkan secara eksplisit. Ong (2004) berpendapat penulisan berupaya memainkan peranan sebagai bahan bukti yang membolehkan guru menterjemahkan pemikirannya secara tersurat untuk diselaraskan dan mengambil tindakan susulan serta salah satu alat yang sangat efektif untuk mengaplikasikan pemikiran dan amalan refleksi adalah jurnal refleksi Melalui penulisan jurnal refleksi individu tersebut dapat menjadi lebih kritikal terhadap pengalaman atau masalah yang dihadapi dan dipertimbangkan segala kemungkinan yang akan berlaku dan berusaha mencari pelbagai alternatif bagi mengatasi situasi tersebut (Hoover, 1994).

No comments:

Post a Comment