Sunday, December 18, 2011

RPH BM & REFLEKSI DIRI


RANCANGAN PELAJARAN HARIAN
TATABAHASA BAHASA MELAYU
TAHUN 3

Tarikh                          : 09 September 2011
Tema                           : Patriotisme
Tajuk Pelajaran           : Ayat Seru
Kelas                           : Tahun 3
Bil. Murid                     : 24 orang
Masa                           : 30 minit

Hasil pembelajaran:
Fokus Utama
1.45     Mengucapkan kata bual sesuatu watak dalam sesebuah cerita
2.16     Membaca pelbagai bahan bacaan
Fokus Sampingan
3.10     Menggunakan tanda baca
             
Objektif:                      pada akhir pengajaran dan pembelajaran, sekurang-kurangnya 70%     daripada  murid-murid dapat:
1.    Membaca ayat seru
2.    Membaca petikan dengan nada dan intonasi yang betul
3.    Melengkapkan ayat dengan Kata Seru dan Tanda Seru
Kemahiran Bahasa     : Membaca,menulis, mendengar dan bertutur.
Sistem Bahasa            : Kosa kata: pertarungan, tikaman,
Sintaksis                      : Ayat majmuk
Ilmu                             : Kajian Tempatan (Sejarah Melaka)

Kemahiran Bernilai Tambah(KBT)
Kemahiran Berfikir : Menjana idea,membuat keputusan ,
Kemahiran Belajar : Mencatat nota dan melapor maklumat
Kecerdasan Pelbagai: Verbal-linguistik, interpersonal,
Pengetahuan sedia ada:   Murid-murid pernah menggunakan Kata Seru dalam perbualan harian mereka
Nilai murni :                       Setia kawan
BBM :                                Kad kata Seru, Lembaran Kerja, Carta Dialog, gambar







Langkah Pengajaran dan Pembelajaran:

STRATEGI/ISI PELAJARAN
AKTIVITI MURID
CATATAN
Set Induksi (3 Minit)
1.    Guru mempamerkan gambar-gambar mimik muka. Kemudian menyuruh murid-murid meneka perasaan mimik muka yang ditunjukkan kepada murid-murid.

2.    Berikan kata-kata pujian kepada murid-murid yang meneka dengan betul.


1.    Murid meneka perasaan yang dialami oleh mimik muka yang ditunjukkan.


Lampiran A
Strategi 1 (7 minit)
1.    Carta dialog dilekatkan di papan tulis. (Dialog antara hang Tuah dan Hang Jebat)

2.    Guru menyuruh murid-murid membaca senyap.

3.    Guru menyuruh murid-murid membaca nyaring. (bacaan kuat)

1.    Murid-murid membaca senyap dan memahami dialog yang dipamerkan.

2.    Murid-murid membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul


3.    Murid-murid menjawab menjawab soalan bertumpu dan bercapah.


Lampiran B








Lampiran C
Strategi 2 (7 minit)
1.    Kad kata seru (wah, oh, amboi, cis, aduhai, nah)

2.    Guru menjelaskan penggunaan setiap kata Seru mengikut situasi
Contoh :- cis – marah
               Amboi – pujian, sindiran

3.    Guru meminta beberapa orang murid secara rawak membina Ayat Seru. Kemudian guru membetulkan ayat murid-murid secara spontan  jika terdapat kesalahan.



1.    Murid-murid membaca kata Seru secara kelas

2.    Murid-murid mendengar penjelasan guru.


3.    Murid-murid yang dipilih secara rawak membina ayat seru secara lisan.

Strategi 3 (10 minit)
Latihan bertulis
1.    Guru mengedar lembaran kerja kepada murid-murid.

2.    Guru menjelaskan kehendak lampiran kerja mengikut aras pencapaian murid.


3.    Pengayaan dan pemulihan

1.    Murid-murid membuat latihan yang diedarkan.

2.    Murid-murid membina 5 Ayat Seru


3.    Murid-murid pemulihan menggarisi kata Seru yang terdapat dalam dialog.


Lampiran D






Lampiran B
Penutup (3 minit)

Rumusan

Guru merumus isi pelajaran


Murid-murid mendengar rumusan guru

Lampiran E






Lampiran B
Tajuk : HANG TUAH DAN HANG JEBAT

Baca Dialog di bawah dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Hang Jebat                 : Wah, cantik sungguh Taming Sari kau ni Tuah!
Hang Tuah                  : Cis, jangan cuba hendak memujuk aku Jebat!
Hang Jebat                 : Amboi, tajam betul fikiran awak!
Hang Tuah                  : Cis, jangan berlengah lagi! Mari kita mulakan pertarungan kita!
Hang Jebat                 : Nah, terimalah tikaman pertama aku!
Hang Tuah                  : Kasihan, tikam orang pun tak kena!
Hang Jebat                 : Aduh, kau tikam aku secara curi!
Hang Tuah                  : Itulah cara nak menang Jebat. Maafkanlah aku.

Lampiran C
Cadangan Soalan

1.    Siapakah yang memegang keris Taming sari?
2.    Apakah yang berlaku antara Hang Tuah dan Hang Jebat?
3.    Mengapakah Hang Jebat memuji keris Taming Sari Hang Tuah?
4.    Hang Tuah menikam Hang Jebat dengan cara tikam curi. Adakah itu seorang wira? Berikan pendapat anda.


Lampiran D
Lembaran Kerja
Arahan : Tuliskan Kata Seru dan Tanda Seru yang sesuai dan tepat pada tempat kosong dalam ayat-ayat yang berikut.

1.    __________________, cantiknya hadiah yang ayah beli untuk saya
2.    __________________, awak yang meletakkan buku ini di sini
3.    __________________, sakitnya perut saya
4.    __________________, pandainya awak mengajar saya
5.    __________________, jangan cuba menipu aku
6.    __________________, malangnya nasib kita
7.    __________________, ambil balik barang-barang engkau
8.    __________________, kanak-kanak itu tiada tempat bergantung
9.    __________________, berkilatnya kasut yang awak pakai
10.  __________________, berani engkau menggangu adik aku


Lampiran E
Rumusan guru
Kata Seru digunakan untuk menyatakan perasaan seseorang dan digunakan dalam ayat seru. Ayat Seru diakhiri dengan Tanda Seru (!)

Contoh Kata Seru :
·         aduh – untuk meluahkan rasa sakit ,
·         amboi – untuk memuji atau menyindir
·         wah – untuk meluahkan rasa kagum pada sesuatu
·         Cis – untuk menyatakan rasa marah
·         Eh – untuk meluahkan rasa hairan atau terkejut
·         Aduhai – untuk meluahkan rasa kasihan
·         Nah – untuk member sesuatu

Contoh Ayat Seru:

1.    Amboi, cantiknya baju awak!
2.    Cis, berani dia melawan aku!      

  REFLEKSI PENGAJARAN 
Berikut ialah refleksi yang saya buat setelah sesi pengajaran saya pada hari tersebut. Saya mengajar tatabahasa Bahasa Melayu dengan tajuk  Ayat Seru. Sesi Pengajaran dan pembelajaran berlangsung selama 30 minit. Secara keseluruhannya, sesi pengajaran saya pada hari tersebut telah mencapai objektifnya apabila 80% ataupun 19 orang daripada 24 orang murid dapat membaca ayat seru dengan baik, membaca petikan dengan nada dan intonasi yang betul, dan melengkapkan ayat dengan kata seru dan tanda seru yang betul sedangkan saya mensasarkan sekurang-kurangnya 70% daripada murid dapat menguasai pengajaran saya pada hari tersebut. Ini dibuktikan dengan hasil kerja yang mereka laksanakan dan telah saya semak.
Di samping itu, ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, saya dapati murid-murid telah melibatkan diri secara aktif kerana saya menggunakan pendekatan dan kaedah yang mudah difahami oleh murid. Saya menggunakan kaedah tunjuk cara dan pendekatan pembelajaran masteri. Set induksi yang saya mulakan dengan menunjukkan gambar-gambar mimik muka atau ekspresi wajah telah menarik minat murid untuk meneka reaksi atau perasaan yang ditunjukkan dalam gambar. Mereka dapat meneka dengan betul setiap aksi atau mimik muka yang ditunjukkan kerana gambar yang saya gunakan sangat jelas. Walaupun gambar yang digunakan adalah gambar yang saya lakar sendiri.Ketika saya meminta murid untuk meneka gambar, keadaan agak riuh kerana murid berebut-rebut  untuk menyatakan pendapat mereka. Namun demikian, keadaan masih dapat saya kawal. Bagi murid-murid yang meneka dengan betul, saya menggunakan kata-kata pujian agar murid berasa jawapan mereka dihargai.
Setelah selesai sesi pengajaran, saya meneliti semula set induksi pengajaran saya berdasarkan gambar video yang dirakam. Saya terfikir adalah lebih baik sekiranya saya melakonkan sendiri mimik muka yang dikehendaki kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa jika dibandingkan dengan masa yang saya ambil untuk mempamerkan satu-satu gambar. Keadaan tersebut juga akan lebih menarik kerana murid-murid pasti akan berasa lucu melihat ekspresi wajah saya yang berubah-ubah. Keadaan sedikit humor begitu akan menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik.
Strategi yang saya gunakan ketika menyampaikan isi pelajaran mudah difahami oleh murid. Carta dialog ‘Hang Tuah dan Hang Jebat’ yang saya pamerkan dengan manila kad dapat dibaca oleh murid dengan jelas. Namun demikian, untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, saya sepatutnya menyediakan dialog tersebut dalam bentuk persembahan power point. Dengan cara itu, saya dapat memperbaiki pengajaran saya kerana mengaplikasikan teknologi maklumat dalam pengajaran saya.
Refleksi seterusnya ialah tentang kad perkataan yang saya gunakan. Kad tersebut yang mengandungi kata seru saya pamerkan di papan tulis dan saya jelaskan satu persatu tentang cara penggunaannya dan situasi yang menggunakan kata seru tersebut. Murid dapat memahami pengajaran yang saya sampaikan. Sebagai bukti, murid dapat membina ayat yang betul berdasarkan kata seru yang diberi apabila saya mengarahkan mereka untuk membina ayat secara lisan. Namun, setelah meneliti semula rakaman, saya terfikir adalah lebih baik sekiranya saya menyediakan alat bantu pengajaran saya dalam bentuk power point. Ini termasuklah kad-kad perkataan dan keterangan tentang penggunaan kata seru dalam ayat seru. Ini akan membantu saya untuk menambahkan kefahaman murid tentang tajuk yang saya ajar pada hari tersebut.
Ketika saya meminta murid-murid untuk membina ayat secara lisan, murid yang dipilih dapat membina ayat dengan baik, malahan ada yang dapat membina ayat majmuk. Seterusnya, latihan pengukuhan yang saya berikan dalam bentuk edaran bercetak telah membantu menjimatkan masa murid untuk menyiapkan latihan tersebut. Murid-murid yang cerdas dapat melengkapkan sepuluh ayat dengan kata seru yang diberi dengan betul. Ini menunjukkan kefahaman murid tentang isi pelajaran yang saya sampaikan. Bagi murid-murid yang lemah, saya arahkan mereka untuk menggarisi kata seru yang terdapat dalam edaran lembaran kerja yang diberikan.
Hasil daripada refleksi yang saya telah buat, sekiranya saya mempunyai peluang untuk mengajar tajuk ini sekali lagi kepada kelas yang sama, saya akan ubah pendekatan dan teknik mengajar yang saya gunakan. Untuk set induksi, saya akan menggunakan diri saya sendiri untuk melakonkan ekspresi wajah kerana saya yakin teknik ini akan lebih menarik perhatian murid. Mereka akan berasa lebih seronok melihat mimik muka yang saya tunjukkan secara langsung. Selain itu, isi pelajaran akan saya sediakan dalam bentuk power point untuk memudahkan penerangan saya tentang isi pelajaran. Teknik ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa saya, malahan murid akan turut terdedah dengan aplikasi teknologi maklumat sekiranya persembahan power point tersebut saya sertakan dengan animasi-animasi bergerak yang menunjukkan ekspresi mimik muka.






No comments:

Post a Comment

Post a Comment